BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Sebagai menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T dan taat setia kepada Raja, marilah bersama-sama hadir ke masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi sama-sama membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran pada petang Rabu, 14 Julai ini.
Ini adalah kerana pada 15 Julai 2010 ini genaplah usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 64 tahun, jelas Imam.
Ketika menyerukan perkara di atas dalam Khutbah Jumaat hari ini, Imam mengingatkan semua supaya hadir dengan niat mudah-mudahan agama, raja dan Negara Brunei Darussalam akan selamat dan rakyat serta penduduknya mendapat berkat dan pahala daripada Allah S.W.T.
Imam juga menyeru supaya semua sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T semoga Raja yang dikasihi dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan adil dan saksama di bawah perlindungan Allah S.W.T dan Negara Brunei Darussalam akan terus aman makmur di bawah kepimpinan Baginda Sultan.
Baginda Sultan bukan hanya setakat seorang raja dan ketua negara, bahkan juga sebagai ketua agama, ketua adat istiadat dan ketua pentadbir, terang Imam.
Menurut Imam, Baginda Sultan sentiasa peka dan komited bekerja untuk kepentingan negara dan kebajikan rakyat Baginda.
"Kita juga beruntung kerana raja yang kita kasihi adalah seorang pemimpin yang mengutamakan pelaksanaan Islam dalam apa jua situasi sama ada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan masyarakat." Berkat kepimpinan dan kebijaksanaan Baginda Sultan sejak 43 tahun yang lalu telah membawa dan menempatkan Negara Brunei Darussalam di persada yang gilang-gemilang, tambah Imam.
Imam menyebutkan, negara kita telah terus bertambah maju, pembangunan negara terus dipergiatkan di seluruh ceruk rantau dan pelosok tanah air, manakala taraf hidup rakyat terus meningkat.
Yang lebih utama lagi ialah keazaman Baginda Sultan untuk menjadikan negara kita ini sebagai sebuah Negara Zikir iaitu dengan sentiasa menyebut dan mengingat Allah S.W.T bagi menghasilkan sebuah negara yang baik, diberkati, penuh keamanan dan mendapat perlindungan Allah S.W.T, tambahnya.
"Maka selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di bawah payung mahkota Baginda, sudah sepatutnya kita bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang bijaksana, pengasih dan pemedulian."
Zahirkanlah rasa kesyukuran itu dengan menumpahkan kasih dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda Sultan, ujar Imam lanjut.
Imam menjelaskan, dalam perkara taat setia kepada raja itu termasuklah dengan mematuhi dan menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Imam seterusnya menegaskan mentaati raja itu adalah wajib, manakala menderhakainya pula hukumnya adalah haram dan berdosa.
Courtesy from Media Permata 10/11 Julai 2010.
No comments:
Post a Comment